Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial di Kompleks Islam, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 19 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Dakwah dalam dunia siber perlu digerakkan dengan terancang dan dinamik kerana masyarakat hari ini tidak terpisah dengan teknologi komunikasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, masyarakat saling berperanan sebagai pendakwah dalam media sosial untuk menyebarkan fungsi komunikasi terkini khususnya mengelakkan unsur fitnah.

“Kita semua berperanan sebagai pendakwa yang perlu berada secara aktif dalam persekitaran dunia siber untuk membimbing masyarakat agar sentiasa mengutamakan dan mengamalkan nilai-nilai agama dan kehidupan.

“Seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera,” katanya ketika merasmikan Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial.

Kempen berkenaan menggunakan pelbagai platform media sosial dan pempengaruh seperti Ryan Bakery, Shuib Sepahtu dan Dai’e Adam.

Jelas beliau, kempen itu hasil daripada ideanya sendiri yang melihat media sosial sebagai medium penularan isu yang tidak pasti kesahihannya.

Beliau berkata, kempen tersebut mengajak masyarakat untuk kembali kepada ajaran agama dan nilai-nilai murni.

“Pertama hentikan berita-berita dan kandungan-kandungan berunsurkan fitnah. Kedua, semua pihak perlu tabbayyu atau menyelidik terlebih dahulu setiap berita yang diterima. Ini dua perkara penting. Kita perlu bertanggungjawab. Fitnah mesti dihentikan di semua platform kerana ia adalah satu dosa. Ini adalah kehendak agama kepada kita orang Islam.

“Sekarang sesiapa sahaja bebas menjadi wartawan. Mencari dan melaporkan berita. Tulis di Facebook dan media sosial sahaja. Kemudian viral. Lebih parah apabila etika kewartawanan tidak dipedulikan kerana mahu mensasikan sesuatu isu,” katanya.

Menurut Idris, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak terkecuali daripada terlibat dengan isu-isu viral yang dikitar semula.

“Sebagai contoh isu-isu berkaitan halal yang berlaku lima tahun dahulu dan telah diselesaikan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Tetapi dek kerana diviralkan semula akhirnya masyarakat jadi panik dan kecoh,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast