Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Tujuh tindakan yang perlu diambil segera oleh pihak berkuasa bagi membantu mangsa jenayah penipuan atau scam bagi memperkemaskan sistem serta mengelak lebih ramai daripada menjadi mangsa.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, cadangan pertama, mewujudkan pusat sehenti bantuan mangsa penipuan yang melibatkan agensi-agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, pusat sehenti tersebut seharusnya dibuka di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching serta satu pusat koordinasi anti penipuan melibatkan pelbagai agensi berpangkalan secara fizikal di BNM.

“Kedua, mengubah sistem pengesahan bagi perbankan dalam talian iaitu dari SMS TAC kepada sistem yang lebih selamat dan tepat identiti, contohnya pengesahan berdasarkan hanya peranti-peranti yang didaftar pemilik akaun dengan bank, serta mengarahkan bank-bank atau institusi kewangan untuk melakukan pengesahan secara panggilan bagi transaksi yang melibatkan jumlah besar dan atau berulang dan bagi transaksi yang di luar kebiasaan aktiviti akaun bank tersebut

“Ketiga, wujudkan satu mekanisme pampasan seperti dana pemilihan yang sedang diusahakan Lembaga Monetari Singapura agar mangsa penipuan yang disahkan akan dapat bantuan pampasan sebaik mungkin, serta meminda akta-akta berkaitan, contohnya Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta 642) supaya PIDM dapat menjamin atau menyediakan insuran dan pampasan bagi simpanan yang terkesan dengan jenayah penipuan.

“Keempat, mengarahkan semua syarikat telekomunikasi melalui SKMM untuk membuat hebahan khidmat awam melalui panggilan telefon mirip skrip dan dialog penipu dengan amaran untuk tidak mengendahkan panggilan daripada penipu seperti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, cadangan kelima, mewajibkan bank-bank dan serta mana-mana institusi kewangan lain yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian (contohnya e-dompet) untuk menerbitkan dalam laporan tahunan masing-masing jumlah kes penipuan serta jumlah yang dicuri berdasarkan laporan polis.

Fahmi memberitahu, langkah itu membolehkan pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-dompet dan dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka.

“Keenam, mengadakan perbincangan segera dengan pengusaha platform digital media sosial yang paling kerap disalah guna oleh penipu untuk aktiviti jenayah bagi mengambil langkah-langkah pantas menghalang platform tersebut dari terus disalahguna untuk aktiviti penipuan.

“Ketujuh, segera mengenalpasti, menahan dan mendakwa di mahkamah mereka yang terlibat membuat panggilan penipuan, menempat atau melindungi penjenayah penipuan, serta merancang aktiviti penipuan, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah penipuan tersebut berpangkalan di luar negara,” jelasnya.

Beliau berharap ketujuh-tujuh langkah itu akan dapat dilaksana segera bagi membantu memastikan duit simpanan rakyat kekal selamat dan kepercayaan mereka terhadap sistem perbankan dalam talian tidak luntur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast