Tun Dr. Mahathir Mohamad.MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai satu gabungan parti politik baharu negara memberikan nilai tambah kepada arena politik negara.

Menurut Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad penubuhan gabungan itu berlandaskan usaha menentang UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Jika negara ingin elak dari memberi kemenangan kepada UMNO, pengundi perlu ada pilihan selain dari yang ada.

“Hari ini Gerakan Tanah Air (GTA) telah ditubuh untuk pengundi, terutama Melayu memilih selain dari UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

GTA menurut bekas Perdana Menteri itu adalah parti Melayu yang merangkumi daripada ahli politik yang bersih dari jenayah.

Jelas beliau, pemimpin-pemimpin GTA tidak pernah didakwa di hadapan mahkamah, jauh sekali dari di penjara.

“GTA juga mempunyai ramai pemimpin yang berpengalaman. Hasrat GTA ialah untuk mendiri kerajaan yang hormati undang-undang dan perlembagaan negara.

“Mereka utamakan kepentingan bangsa, negara dan agama,” katanya lagi.

Jelas Dr. Mahathir lagi, tujuan GTA wujud dalam arena politik negara adalah bagi memberi pilihan kepada rakyat di negara ini yang menolak rasuah.

“Rakyat Malaysia dikatakan bosan dengan politik. Ramai mereka tidak berminat untuk undi.

“Yang malang ialah apabila mereka tidak mengundi, yang akan mengundi ialah mereka yang disogok oleh perasuah. Kesannya ialah parti perasuah yang akan menang. Parti perasuahlah yang akan diri kerajaan dan kerosakan negara akan berterusan.

“Dalam PRN Melaka dan Johor hampir lima puluh peratus pengundi tidak mengundi. Dengan itu parti BN dengan sokongan hanya 35 peratus dari pengundi menang besar dan diri kerajaan.

“Masalahnya pengundi yang menolak sogokan tidak ada pilihan. Mereka juga tidak suka parti-parti lain yang bertanding,” ujar Mahathir lagi.

Pada 6 September lalu, GTA yang terdiri daripada gabungan empat parti gabungan iaitu Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) telah menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada RoS.

Ia bagi menjadikan GTA blok baharu dalam politik bagi PRU-15 kelak. – MalaysiaGazette