Antara 30 keluarga mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket scammer di Kemboja, Laos dan Myanmar memegang plakad sebagai tanda merayu dan memohon campur tangan kerajaan ketika menyerah memorandum kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera mengambil tindakan mengatasi isu sindiket pemerdagangan manusia di negara Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana terdapat rekod kematian rakyat Malaysia di Thailand yang mana identitinya telah dipalsukan baru-baru ini bagi menutup kegiatan sindiket tersebut.

“Sebelum ini, kita tiada data mengenai kematian, sekarang sudah terbukti yang mana terdapat satu kematian di Thailand, mayat itu menggunakan identiti orang lain. Apabila ujian DNA buat, terbukti individu itu adalah rakyat Malaysia yang tinggal di Ipoh.

“Soalan saya sampai bila kita nak tunggu benda ini? Sudah ada kematian. Bila kita nak bincang di platform tertinggi ASEAN, mahu tungu ada 100 kematian ke? Inilah masa yang sesuai untuk bertindak menggunakan platform tertinggi di negara ASEAN.

“Kita minta Perdana Menteri atas semangat Keluarga Malaysia, bantulah mereka dan jangan jadikan slogan Keluarga Malaysia hanya sekadar slogan kosong. Buktikan dan terjemahkannya dengan usaha yang bersungguh untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di sana,” katanya dalam sidang media selepas menghantar memorandum di Bangunan Perdana Menteri di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri berikutan isu mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket scammer di Kemboja, Laos dan Myanmar ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2022.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat mewakil 30 ahli keluarga mangsa antaranya Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al Ehsan (AL Ehsan) dan Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN).

Mereka hadir menyerahkan memorandum memohon pihak kerajaan membantu untuk campur tangan menyelesaikan isu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Tambah Hishamuddin, kerajaan perlu segera bertindak kerana ia melibatkan nyawa rakyat yang kini dalam keadaan tertekan dan diancam dengan pelbagai ugutan daripada sindiket itu.

Antara 30 keluarga mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket scammer di Kemboja, Laos dan Myanmar memegang plakad sebagai tanda merayu dan memohon campur tangan kerajaan ketika menyerah memorandum kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2022.

Berdasarkan laporan dari ahli keluarga mangsa, beliau berkata  rakyat Malaysia di sana hampir setiap hari diseksa, dipukul, diugut untuk dijual organ dengan mengambil darah setiap hari bagi memastikan organ mereka sihat.

Bukan itu sahaja, mereka turut dipaksa bekerja 20 jam sehari tanpa dibenarkan berehat serta ada yang mangsa dijual untuk dijadikan pelacur pada beberapa sindiket.

“Jangan sekadar wujudkan kerenah birokrasi, memberi dokumen tapi tiada tindakan. Tindakan perlu segera dan tuntas. Ini melibatkan nyawa mangsa.

“Saya minta segerakan mesyuarat ASEAN secepat mungkin dan panggil semua ketua- ketua negara khusunya ketua negara Myanmar, Kemboja dan Laos. Walaupun ada yang sudah berjaya diselamatkan tetapi masih ramai lagi yang terperangkap di sana,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast