Anggota Maritim Selangor ketika menahan bot pancing yang beroperasi tanpa lesen di Perairan Selangor pada 18 September 2022. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menahan sebuah bot pancing yang beroperasi tanpa lesen di perairan negeri itu semalam.

Pengarahnya, Kapten V. Siva Kumar berkata, penahanan dilakukan pada kedudukan 4.7 batu nautika barat daya Kuala Selangor pukul 2.30 petang menerusi ‘Op Ehsan’ dan ‘Op Benteng Laut’.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot pancing dikendalikan lima kru termasuk tekong warga tempatan berusia antara 40 hingga 57 tahun.

“Bot, tekong dan kru dibawa ke Jeti Polis Marin Pelabuhan Klang Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan tekong tiada sijil perakuan kompeten membawa bot daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Maritim Malaysia mengingatkan pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut dengan memastikan bot yang digunakan memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa.

Agensi itu turut mengingatkan orang ramai supaya membuat aduan dan menyalur maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette