Dr Asmadi Abdul Rahman

KUANTAN – Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini berjaya membantu membuat pindaan status agama dalam MyKad 30 mualaf Orang Asli di Pos Senderut Lipis.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, inisiatif itu dibuat menyedari kekangan golongan berkenaan mendapatkan pindaan pada kad pengenalan.

Jelasnya, penyelesaian isu pindaan status saudara baharu itu dibuat melalui kerjasama pasukan Mobile Ehsan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pahang.

“Kita memahami kepayahan masyarakat Orang Asli yang sudah memeluk Islam namun mengambil masa lama untuk meminta status agama di dalam kad pengenalan kerana mereka menetap di kawasan pendalaman.

“Jadi, pihak MUIP dan JPN Pahang membantu memudahkan urusan mereka dan penyelesaian isu status ini akan memudahkan mereka mendapatkan bantuan termasuk memohon sebagai guru agama bagi mewakili kawasan mereka masing-masing,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sesi penukaran status itu dijalankan menerusi program ziarah dakwah saudara baharu masyarakat Orang Asli dan pemutihan pendaftaran saudara baharu Asli di Pos Senderut Lipis.

Program berlangsung selama tiga Hari diadakan dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antara Bangsa (KUIS), Sekolah Kebangsaan Senderut serta agensi-agensi Pahang.

Sementara itu, Asmadi berkata, Pejabat Agama Islam Daerah Lipis turut membuka kaunter bagi berkaitan urusan perkahwinan saudara baharu yang belum berdaftar dan pendaftaran pengislaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast