Antara projek perumahan Generasi ke-2 Felda yang terbengkalai hampir 10 tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di kawasan Papan Timur Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 FEBRUARI 2022.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan membangunkan semula 10 tapak Projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGBF) yang terbengkalai.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, ia akan dijenamakan semula kepada skim perumahan dengan nama Rumah Pahang.

“Pelaksanaan projek adalah melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) secara usahasama bersama pemaju iaitu Syarikat KMDI Holding Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Abd Rahim, prosedur yang bermula sejak Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun 2023 turut melibatkan PGBF di Jengka 11.

“Pemilihan pembeli-pembeli Rumah Pahang yang layak akan diuruskan oleh LPHP melalui sistem ePerumahan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri,” jelasnya.

Katanya, KMDI Holding Sdn Bhd kini sedang melaksanakan kerja-kerja penyediaan plan pra-hitungan dan permohonan hak milik tanah bagi tujuan mendapatkan lesen jualan rumah.

Selain itu, ujar beliau Jawatankuasa Khas Pemilihan Pembeli juga ditubuhkan bagi meneliti kelayakan permohonan seterusnya dpanjangka ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri untuk dimuktamadkan.

Sementara itu, Abd Rahim memberitahu, LPHP tidak pernah melantik mana-mana pihak, agensi atau syarikat untuk permohonan pembelian Rumah Pahang.

Pemohon yang berminat boleh mula membuat permohonan melalui ePerumahan.pahang.gov.my sebaik projek dilancarkan.-MalaysiaGazette