Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu (berbaju biru) menyerahkan sumbangan air mineral kepada salah seorang penduduk Perkampungan Batu Hitam, Azli Abdul Rahman yang mengalami gangguan bekalan air di Kuantan, Pahang hari ini

KUANTAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) disaran menambah baik komunikasi dengan pemimpin setempat selain daripada memberi notis awal gangguan bekalan melalui media sosial kepada pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, langkah berkenaan bagi memastikan maklumat gangguan bekalan air dapat disebarkan kepada pengguna secepat mungkin.

Tindakan itu sekali gus dapat mengenalpasti keperluan penduduk seterusnya segera menyelaras bekalan air di kawasan mereka terlibat.

Menurutnya, cadangan berkenaan boleh diambilkira oleh PAIP apabila  berlaku gangguan bekalan sama ada berjadual atau tidak berjadual.

“Pihak saya sentiasa memberi kepercayaan kepada kepakaran teknikal PAIP dalam menguruskan bekalan air di negeri ini malah media sosial rasmi milik agensi itu juga lebih aktif mengemaskini makluman berkaitan perkembangan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang dijalankan.

“Namun begitu, teguran dan cadangan saya sebelum ini lebih kepada kesiapsiagaan menangani keperluan pengguna apabila berlaku gangguan bekalan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari memaklumkan gangguan bekalan air dijangka berlaku dalam tempoh dua hari bermula pukul 8 pagi pada 20 September ini disebabkan kerja-kerja menyiapkan penyambungan paip air mentah secara pintasan di Mahkota Golf & Country Club.

Bagaimanapun, katanya, PAIP telah mengambil langkah drastik dan dilihat efisien apabila membekalkan lebih 200 tangki statik di kawasan mengalami bekalan air bagi memudahkan urusan penduduk terlibat.

Menyedari usaha itu, Andansura berkata, pihaknya meyokong usaha PAIP dengan memmbantu menyediakan lagi dua lagi lori tangki bagi membantu mereka yang terkesan dengan gangguan sehingga bekalan air pulih seperti biasa. – MalaysiaGazette