Ahmad Zahid Hamidi kekalahan mutlak
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengulangi kejayaan mereka untuk menghasut rakyat seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rekod buruk pentadbiran PH selama 22 bulan ketika menjadi kerajaan terbukti hanya menjual sebuah harapan sahaja.

Menurut beliau, masa yang berbaki sebelum PRU-15 berlangsung akan digunakan oleh mereka untuk terus menghasut rakyat.

“Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi (Ramli) tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.

“Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata.

“Manifesto yang mereka kemukakan tidak mereka laksanakan dan dianggap bukan kitab suci. Tindakan ini digunakan untuk menghalalkan mereka yang gunakan manifesto melangit hanya untuk memancing undi untuk menang,” katanya.

Beliau menegaskan, BN tidak akan mengikut jejak langkah PH yang menabur janji-janji populis.

Sebagai sebuah blok politik yang stabil dan berpengalaman luas mentadbir, BN tidak akan menjual harapan seperti yang dilakukan oleh PH.

“BN boleh sahaja jadi populis untuk janjikan tol percuma, pendidikan percuma seperti manifesto palsu PH. Tapi BN tak sedemikian.

“Sebab BN tahu untuk menghapuskan keseluruhan hutang peminjam PTPTN adalah tidak ada logik kerana setiap penghutang perlu melunaskan hutang dan ini juga dituntut dalam Islam,” kata Ahmad Zahid.

Tindakan PH menawarkan pendidikan percuma di universiti juga merupakan langkah populis.

Sedangkan, menurut beliau, negara memerlukan pendapatan untuk membayar gaji pensyarah, kakitangan sokongan universiti, menyelenggarakan kolej universiti, melanggan bahan rujukan perpustakaan universiti, membiayai peruntukan bagi meningkatkan lagi pembelajaran, penyelidikan dan pengajaran universiti untuk anak bangsa negara.

BN sedar hakikat yang dihadapu negara dan tidak akan menipu rakyat dengan janji muluk-muluk seperti yang dilakukan PH.

“PH berbuat demikian dan menjual janji kosong biarlah mereka dihukum rakyat pada pilihan raya umum ke-15 ini,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette