Rithuan Mohd Ismail

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan (CEO) Labuan yang baharu.

Rithuan, 54, bakal menyandang jawatan itu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Oktober tahun ini hingga 30 September 2024.

Menerusi kenyataan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Rithuan menggantikan Dr. Fary Akmal Osman yang telah berkhidmat sejak 10 Julai 2019 hingga 8 Oktober 2021.

“Pelantikan Rithuan adalah selaras dengan subseksyen 10(1) Akta Perbadanan Labuan 2001 [Akta 609]. Beliau merupakan anak kelahiran Labuan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Ekonomi dan Perakaunan).

“Beliau mula berkhidmat di Lembaga Pembangunan Labuan pada tahun 1994 dan kemudiannya meneruskan perkhidmatan di Perbadanan Labuan bermula tahun 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahidan, Rithuan memiliki pengalaman selama 28 tahun sebagai penjawat awam khususnya di pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau, beliau mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus serta fungsi Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan agar terus memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan.

“Saya bagi pihak kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan ini dan selamat menjalankan tugas kepada Rithuan Mohd Ismail,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahidan turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih terhadap Fary Akmal di atas sumbangan serta khidmatnya sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan. – MalaysiaGazette