KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggunakan isu banjir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk menghasut rakyat benci kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya kerana takut menghadapi kekalahan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PH menyedari rakyat telah hilang kepercayaan kepada parti itu selepas mentadbir negara selama 22 bulan.
“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap PH hilang apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad tak mahu serah jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selain manifesto mereka gagal laksanakan.
“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, PH seolah-olah lupa pilihan raya umum pernah dilaksanakan pada bulan November ketika Dr. Mahathir mentadbir negara.
Malah pilihan raya negeri Sarawak yang diadakan beberapa tahun lepas juga dilaksanakan pada bulan Disember.
“Pembangkang juga menghasut rakyat kononnya mengadakan PRU tahun ini terdedah kepada banjir. Mereka lupa bekas PM terakhir mereka Mahathir sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 tak pula jadi isu besar.
“Terbaru tahun lepas PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, PH ketika ini, kesuntukan masa dan memerlukan masa sehingga Februari depan untuk bertemu dengan rakyat.
Beliau menegaskan, BN sama sekali tidak akan memberi peluang kepada PH kerana parti itu hanya menggunakan jelajah tersebut untuk menghasut rakyat.
“Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan. BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan!” kata Ahmad Zahid.
Beberapa pemimpin PH mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju PRU-15 berlangsung pada tahun ini dan menjadikan banjir sebagai alasan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli antaranya mengancam untuk menyumbat ‘pemimpin terbabit’ jika PRU diadakan semasa banjir. – MalaysiaGazette