DHAKA – Bangladesh tidak lagi membenarkan etnik Rohingya dari Myanmar memasuki negara itu, kata Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal.
“Kami telah menghadapi masalah dengan Rohingya yang menetap di Bangladesh,” katanya yang menjawab soalan wartawan selepas mengadakan perbincangan mengenai unit anti keganasan.
Tambah beliau, tentera Myanmar yang bertempur dengan tentera Arakan menyaksikan beberapa bom memasuki Bangladesh menyebabkan seorang terbunuh dan beberapa orang lagi cedera, lapor The Daily Star.
“Kami telah membantah ini, kami akan terus membantah dan jika ia tidak berjaya kami akan membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Asaduzzaman berkata, Perdana Menteri dan Menteri Luar Bangladesh akan membuat keputusan mengenai perkara itu tidak lama lagi.
“Kami merupakan negara yang cintakan keamanan dan kami tidak mahu keamanan diganggu gugat,” tambah beliau. – Agensi