Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang dalam lawatan kerja ke UAE.

KUALA LUMPUR – Meningkatkan penglibatan antara ketenteraan di peringkat tertinggi antara keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu dipersetujui oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Staf Angkatan Tentera UAE, Leftenan Jeneral Hamad Mohammed Thani al-Rumaithi.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju mengadakan latihan dua hala bersama antara ATM dan Angkatan Tentera UAE.

“Latihan ini akan tertumpu di kawasan darat khususnya melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Darat UAE,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena lawatannya ke UAE.

Selain itu, mereka juga bersetuju meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan antara kedua-dua angkatan tentera selain mengeratkan kerjasama berkaitan industri pertahanan.

Lawatan rasmi itu dimulakan dengan pertemuan bersama Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi serta Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Qasr Al Shati’.

“Selain itu, kami turut memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-UAE khususnya dalam konteks pertahanan. Kami senada bahawa prospek ini mesti diterokai sebaik mungkin demi memacu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini termasuklah dengan meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing,” ujarnya.

Menurut Hishammuddin, pertemuan itu juga dimanfaatkan dalam membincangkan keperluan meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur, terutamanya melalui penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang telah lama ditubuhkan.

“Kursi Sheikh Zayed ini telah dipersetujui penubuhannya semasa saya Menteri Luar Negeri sebelum ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast