Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (tengah) melawat ruang gerai jaulan pada Program Love Local di Stesen PETRONAS sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Stesen PETRONAS Kota Damansara 1, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2022.

PETALING JAYA – Nilai jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, berikutan itu nilai jualan barangan buatan Malaysia diramal mencecah RM4.4 bilion pada tahun ini berbanding RM3.2 bilion pada tahun sebelumnya.

“Kita jangka tahun ini dalam masa tiga bulan lagi, nilai jualan cecah RM80 juta. Selepas pandemik kita nampak rakyat sudah mula membeli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Love Local di Stesen Petronas Kota Damansara 1, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEL dan Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (dua kanan) melawat ruang gerai jaulan pada Program Love Local di Stesen PETRONAS sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Stesen PETRONAS Kota Damansara 1, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2022.

Dalam masa sama, KBBM dan pasaran produk tempatan terus disemarakkan menerusi Program Love Local di stesen Petronas secara meluas.

Rosol berkata, menerusi program berkenaan lebih 1,800 usahawan atau pengeluar diberi peluang memasarkan pelbagai produk masing-masing di rangkaian Kedai Mesra Petronas.

“Hari ini sahaja ada 30 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempromosi dan memperkenalkan barangan mereka, ada setengahnya sudah pun masuk di Kedai Mesra Petronas ada yang masih dalam proses membekalkan.

“Ini untuk memastikan dan menunjukkan produk kita antara produk yang terbaik mampu bersaing dengan produk luar negara, ditambah tekanan mata wang Amerika Syarikat dan ringgit kita, jadi masanya sesuai untuk rakyat menumpukan kepada produk-produk tempatan,” jelas beliau.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid bercakap pada sidang media selepas Program Love Local di Stesen PETRONAS sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Stesen PETRONAS Kota Damansara 1, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2022.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosol memuji usaha Petronas yang menjadi perintis menggerakkan Program Segar@Mesra berkonsepkan ‘farmer to consumer’.

Ujarnya, program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah dilaksanakan di 75 Kedai
Mesra Petronas seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast