Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan pelajar pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Syarikat cari gali minyak negara, Petronas telah menaja lebih 37,000 pelajar tempatan sejak ditubuhkan pada 1974 dan melibatkan nilai RM3.5 bilion.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, pada tahun ini seramai 600 pelajar menerima tawaran belajar di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) dengan nilai lebih RM340 juta.

“Daripada jumlah ini, hampir 80 peratus merupakan golongan kurang berkemampuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Anugerah Program PESP 2022 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Menurut Mohd Bakke, PESP pada tahun ini menerima lebih daripada 9,000 permohonan yang mana 2,000 calon telah disenarai pendek untuk menghadiri sesi ujian serta temuduga sebelum diputuskan layak menjadi penerima tajaan.

“Pemilihan para pelajar bukan sahaja berdasarkan pencapaian akademik dan kokurikulum semata-mata tetapi juga merangkumi aspek kepimpinan, sahsiah diri dan semangat kerja berkumpulan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Mohd Bakke berkata, Petronas mengutamakan pembangunan modal insan yang selaras dengan Agenda Kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi akses kepada pendidikan berkualiti untuk kesemua golongan masyarakat.

“Teras perlaksanaan tanggungjawab sosial korporat Petronas memfokuskan kepada tiga inisiatif utama iaitu Sentuhan Ilmu, Sentuhan Harapan, dan Sentuhan Alam.

“Ketiga-tiga inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan, taraf hidup dan menjaga kelestarian alam sekitar,” ujarnya. – MalaysiaGazette