Ketua Cabang PKR Ampang,Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali Altimet ketika berucap pada Program Ceramah Rapat Mega Keadilan di Taman Melawati Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Lagu Aduh Malaysia (Sakau Sakau Sakau) nyanyian Ketua Cabang PKR Ampang, Altimet perlu menambah lirik ‘Akulah penipu, pemfitnah, perogol dan peliwat’ bagi melengkapkan lagi lagu tersebut.

Cadangan itu dibuat oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurut beliau, dia berasa geli apabila lagu tersebut turut dinyanyikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli.

Secara sinis Mohd Puad berkata, PKR sepatutnya mencipta sebuah lagu bertajuk ‘Aku PM Tepi’ yang merujuk kepada Anwar yang sehingga kini masih belum merasai jawatan Perdana Menteri.

“Tadi dengar juga lagu baru PKR, ‘Akulah Penyamun’. Geli geleman tengok Anwar dan Rafizi menyanyi ramai ramai. Elok lagu tu. PKR mengaku jadi penyamun. Anwar siap berdiri menyanyi.

“Patut mereka tambah pada lirik lagu itu, ‘akulah penipu, pemfitnah, perogol dan peliwat’. Baru lengkap. Lain kali buat pula lagu “Aku PM Tepi”. Memang PKR kaki nyanyi rakyat,” katanya di Facebook.

Lagu Aduh Malaysia gubahan penyanyi Altimet dan dilancarkan semasa majlis Rapat Mega Keadilan di Ampang pada 12 September lalu sebagai sebahagian bahan kempen PKR untuk menarik undi rakyat.

Aduh Malaysia diubahsuai daripada lagu dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee – Ali Baba Bujang Lapok pada 1961.

Lagu Aduh Malaysia ditujukan kepada golongan perasuah di negara ini.

Terbaharu Anwar dilihat menyanyikan lagu berkenaan pada program Piknik Rakyat anjuran PKR di Port Dickson pada 17 September lalu. – MalaysiaGazette