Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan warga Malaysia yang terkandas di luar negara akibat terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan dibawa pulang dengan selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kini usaha-usaha sedang dijalankan kerajaan melalui semua saluran yang ada.

“Kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berikutan sindiket penipuan kerja seperti yang disuarakan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO),” katanya dalam kenyataan hari in=i.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Pedana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim serta keluarga mangsa-mangsa sindiket bagi mendapatkan maklumat terperinci untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Tambah beliau, kerajaan amat priharin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja.

Sementara itu, Perdana Menteri menasihati warga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

Kata beliau, mereka perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Kementerian Luar bagi mengelakkan daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan. – MalaysiaGazette