Dua beradik diringi pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Dua beradik yang direman tiga hari mulai hari ini  bagi membantu  Sururuhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes pembayaran palsu bernilai RM23 juta bagi projek pembinaan kediaman pangsapuri.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin pagi tadi.

Menurut sumber, dua suspek lelaki yang merupakan bekas pengarah urusan syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan tersebut telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 7 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek yang berusia 60-an berkenaan disyaki telah membuat pembayaran palsu dan curang kepada perunding, sub-kontraktor dan pihak-pihak ketiga dengan menggunakan kemudahan perbankan overdraf sebuah bank tempatan bernilai lebih RM23 juta antara tahun 2017 hingga 2019.

Dua beradik dibawa oleh pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajayauntuk direman. Foto SPRM

Pembayaran palsu itu dibuat dua beradik berkenaan bagi projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur bernilai lebih RM350 juta sedangkan projek tersebut tidak dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan reman ke atas kedua-dua suspek tersebut.

Kata beliau, kedua-dua suspek direman dan sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette