KUALA LUMPUR – Kalau UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendakwa mereka kuat dan boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kenapa tidak tunggu pembubaran Parlimen tahun depan?
Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali menimbulkan persoalan itu berikutan desakan kuat dari parti berkenaan ke atas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya diadakan PRU lebih awal.
Katanya, jika PRU-15 diadakan awal bermakna ia akan berlangsung pada November atau Disember ini iaitu ketika rakyat bertarung dengan musim banjir.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kata pihak lawan yang takut dan BN yang kuat. Kalau kuat, kenapa tidak tunggu sehingga Februari, Mac, April atau Mei tahun depan?
“Lagi pun hanya empat hingga lima bulan sahaja lagi. Adakah Presiden UMNO bimbang beliau akan hilang kelayakan bertanding jika didapati bersalah oleh mahkamah?
“Nampak sangat beliau mengejar masa demi survival politiknya tetapi cuba mengalih isu itu dengan mendakwa kenyataannya mengenai sanggup redah banjir telah dimanipulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid hari ini mendakwa ucapannya bahawa BN sanggup redah banjir untuk menghadapi PRU-15 pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini telah dimanipulasi.
Pengerusi BN itu dilaporkan berkata, ucapannya itu hanya mahu memperlihatkan kepada Perdana Menteri bahawa BN telah bersedia pada bila-bila masa, walau apapun jua keadaan dan situasi untuk menghadapi pilihan raya umum.
Dalam pada itu, Ibrahim yakin jika PRU-15 diadakan sebelum hujung tahun ini, ia akan memberi kelebihan kepada parti pembangkang dan lain-lain parti yang menentang BN.
Sebabnya, kata beliau, Ahmad Zahid masih layak bertanding dan beliau berkuasa untuk memilih calon BN pada pilihan raya nanti.
“Rakyat akan melihat walaupun Ismail Sabri dinobatkan sebagai calon perdana menteri oleh BN namun rakyat tidak akan percaya kerana Presiden UMNO juga menjadi calon.
“Rakan-rakan kluster mahkamahnya juga akan menjadi calon PRU-15. Inilah modal besar untuk parti pembangkang melawan BN.
“Namun, semua pihak berpendirian tidak wajar diadakan di musim banjir atau hujung tahun ini. Ini bukan retorik kerana tidak wajar nyawa rakyat menjadi taruhan demi survival politik pihak tertentu,” ujarnya.
Apapun, katanya, kuasa mutlak berada dalam tangan Yang di-Pertuan Agong sama ada memberi perkenan atau tidak untuk PRU15 diadakan penghujung tahun ini yang diramalkan akan berlaku iklim cuaca buruk.
Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong sudah pasti akan memperhalusi segala aspek sebelum memberi perkenan atas dasar keselamatan rakyat dan pembaziran wang negara.
Jelas beliau, perubahan iklim cuaca di seluruh dunia menyaksikan Malaysia turut terima kesannya apabila ada tempat dan negeri yang tidak pernah banjir tetapi dilanda bencana alam itu. – MalaysiaGazette