Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mempersoalkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta Majlis Peguam yang berdiam diri terhadap segala kepincangan ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa dahulu.

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, Majlis Penasihat Kerajaan PH meminta Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu meletak jawatan dan kemudiannya memasukkan Ketua Hakim baharu yang menyokong PH selepas dicadangkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Yang paling bagusnya Majlis Penasihat Kerajaan ini, salah seorang anggotanya adalah seorang wanita yang diakui oleh Peguam Negara bahawa dia membantu Jho Low untuk sakau atau curi duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan keluarga wanita itu terima hampir RM700 juta dari Jho Low.

“Wanita yang sama ini juga turut dilantik kerajaan PH jadi Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengendalikan dana bernilai RM330 bilion,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Asyraf Wajdi menambah, PH menyingkirkan Peguam Negara ketika itu dan menggantikannya dengan Tan Sri Tommy Thomas yang cenderung kepada PH seperti yang dicadangkan oleh Kit Siang.

Menurut beliau, Tommy seterusnya melantik pula sekutu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan peguam Lim Guan Eng sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

“Mereka lantik orang PKR paling senior sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kemudian diletakkan pula individu pro-PH, Art Harun (Tan Sri Azhar Azizan Harun) sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya. Abangnya pula dilantik sebagai Peguam Negara untuk gantikan Tommy manakala Art Harun dilantik sebagai Speaker (Dewan Rakyat).

“Mereka letakkan pemimpin senior Parti Amanah Negara sebagai Speaker di Parlimen. Dua timbalannya adalah dari DAP dan PKR,” jelasnya.

Asyraf Wajdi berkata, selepas dilantik, mereka menggugurkan semua kes terhadap pemimpin PH termasuk kes yang sudah dibicarakan di mahkamah seperti kes rasuah banglo Guan Eng dan kes Rafizi Ramli yang sudah memasuki peringkat pembelaan.

Malah, katanya, kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan PKR yang diperintah membayar RM2 juta kerana memfitnah Felda turut dapat diskaun 96.5 peratus dan perlu membayar RM70,000 sahaja.

“Yang paling mengagumkan, individu yang masih dibicarakan kerana rasuah turut dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk mengendalikan duit kita.

“Pada masa itu, mana suara korang? Korang ni Majlis Peguam atau Majlis Penasihat PH?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast