Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menyaksikan pertukaran memorandum antara Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri) dan Presiden Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Saleh pada Majlis Pelancaran Kempen Mencarum SKSPS PERKESO di Wisma PERKESO, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menyediakan liputan perlindungan keselamatan sosial kepada 7,000 kru produksi dan tenaga kerja belakang  tabir industri perfileman negara.

Ia dimeterai dalam satu memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran Kempen Mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) hari ini.

Majlis pemeteraian MoU dan pelancaran Kempen Mencarum SKSPS PERKESO telah disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Seri Dr. Mohammed Azman, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Aziz Mohammed, Pengerusi FINAS, Zurainah Musa dan Presiden PROFIMA, Mohd Khalil Saleh.

MoU tersebut adalah untuk memastikan ahli-ahli yang berdaftar di bawah PROFIMA seperti penerbit, pelakon, jurukamera dan juruvideo yang bekerja sendiri mendapat perlindungan keselamatan sosial dengan mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS.

Selain itu, kerjasama itu juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial dan menggalakkan lebih ramai Orang Bekerja Sendiri (OBS) mencarum dengan PERKESO.

Kerjasama itu juga menjadi platform untuk memperluas inisiatif SPS Seni di bawah Program SPS Padanan Caruman kepada kru produksi dan pekerja di belakang tabir industri perfileman negara.

Menerusi Bajet 2022, kerajaan menyediakan pembiayaan padanan caruman kepada OBS yang layak di mana mereka hanya perlu membayar 20 peratus atau RM46.60 sahaja daripada keseluruhan jumlah caruman Pelan 2 SKSPS iaitu sebanyak RM232.80 bagi tempoh perlindungan selama setahun.

Bayaran caruman selebihnya iaitu 80 peratus atau sebanyak RM186.20 pula akan disumbangkan oleh kerajaan.

Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 5,078 penggiat seni telah berdaftar dan mencarum dengan PERKESO menerusi inisiatif SPS Seni berbanding 20,000 jumlah sasaran atau kuota yang disediakan oleh kerajaan

Sementara itu, seramai 376,333 OBS telah mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS atau kira-kira 15.8 peratus daripada keseluruhan 2.38 juta OBS di seluruh negara.- MalaysiaGazette