Gambar tular menunjukkan kesan kecederaan di bahagian mata mangsa akibat dipukul bapa tirinya dalam kejadian di Parit Buntar, Perak baru-baru ini.

PARIT BUNTAR – Siasatan berhubung seorang remaja perempuan dipukul bapa tirinya hingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian mata dalam satu kejadian pada bulan lalu masih diteruskan.

Berdasarkan laporan polis dibuat mangsa yang tular di media sosial mendapati kejadian berlaku pada 17 Ogos lalu kira-kira jam 11 malam di kediaman mereka.

Mengikut laporan itu, remaja tersebut mendakwa dipijak, tampar serta ditendang bapa tirinya ketika mangsa bertengkar dengan ibunya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa pada 18 Ogos lalu.

Katanya, remaja perempuan itu mendakwa mengalami kecederaan di bahagian mata akibat dipukul bapa tirinya.

“Susulan itu, kita telah menahan suspek bagi menjalankan siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumahtangga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar mangsa yang menunjukkan kesan kecederaan di bahagian mata serta laporan polis yang dibuatnya. – MalaysiaGazette