M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju pengambilan 10,000 pekerja  asing dari Sri Lanka bagi membantu negara itu yang dilanda krisis ekonomi ketika ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan dengan menggajikan pekerja warga asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja warga asing.

Menurutnya, mana-mana majikan yang telah diberi kelulusan kuota dan telah menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang ini.

Sehingga 14 September 2022, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja warga asing.

Bagi mana-mana majikan yang berminat, mereka boleh terus menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]) untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette