vaksin dos penggalak
Dr. Noor Hisham Abdullah

KOTA KINABALU – Kira-kira 8,000 pakar perubatan keluarga diperlukan di klinik-klinik Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha untuk memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada komuniti khususnya di kawasan luar bandar.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi mencapai sasaran itu, KKM kini sedang meningkatkan kapasiti pakar perubatan keluarga menerusi program sarjana perubatan keluarga di universiti tempatan dan Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway dengan kerjasama kolej luar negara.

Beliau berkata, menerusi program latihan tersebut, setiap tahun dianggarkan antara 100 hingga 120 graduan pakar perubatan keluarga akan dihasilkan, manakala kira-kira 100 orang pakar dihasilkan menerusi program sarjana di universiti tempatan.

“Dahulu bermula dengan 42 fasiliti yang ada pakar perubatan keluarga, tetapi sekarang kita sudah tingkatkan iaitu melihat kepada subspektrum rawatan kepada komuniti dan sekarang kita ada hampir 1,100 pakar perubatan keluarga dan di KKM hampir 700 orang pakar.

“Kita inginkan kepakaran perubatan keluarga ditempatkan di klinik, sekurang-kurangnya dua orang pakar (bagi setiap klinik) supaya mereka dapat memimpin pegawai perubatan dan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan serta keselamatan, selain menjalankan program-program outreach sampai ke kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perubatan Saintifik Keluarga (FMS) ke-24 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC).

Dr Noor Hisham berkata, penempatan pakar perubatan keluarga di klinik kesihatan akan membolehkan rawatan yang dahulunya dijalankan di hospital dilaksanakan di klinik tersebut, termasuk pemberian ubat-ubatan, sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, Dr Noor Hisham berkata, ia bertujuan mencegah generasi baharu daripada memulakan tabiat merokok.

“Untuk generasi lama, kami tidak menganggu apa yang telah dilakukan pada masa dahulu.. kami memfokuskan pada generasi baharu yang dilahirkan pada 2007. Ini adalah kumpulan yang kami fokuskan untuk mencegah mereka daripada merokok, ini adalah salah satu inisiatif kami di KKM untuk pencegahan,” katanya.

RUU itu, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 27 Julai lepas bertujuan melarang individu yang lahir pada dan selepas 1 Jan, 2007 daripada membeli atau memiliki rokok atau produk vape. – Bernama