Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli bercakap kepada media mengenai prestasi kewangan suku kedua dan tinjauan perniagaan Bina Darulaman Berhad di VE Hotel & Residence, Bangsar South City, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bina Darulaman Bhd (BDB) mengembangkan lagi perniagaannya apabila menyasarkan 2023 sebagai tahun untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Ia susulan daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas hingga memberi gambaran syarikat itu berada pada risiko yang agak tinggi, kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli.

Menurutnya, akibat daripada pandemik tersebut ia telah memberi kesan kepada sektor pengeluaran makanan, telekomunikasi dan tenaga yang tetntunya kekal berdaya tahan.

“Disebabkan itu, kita akan menjalankan kajian bagi mengenal pasti serta menentukan kebolehlaksanaan untuk menjadikan sektor perniagaan ini ke dalam portfolio BDB.

“Ia adalah bagi mempertingkatkan lagi daya tahan dan mengekalkan keuntungan syarikat pada masa hadapan.

“Kami juga akan mula melaksanakan kepelbagaian portfolio ini sekiranya mendapat mandat dan hasil kajian menunjukkan ia mampu menjana pendapatan baharu,” katanya pada sesi taklimat dan sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Iskandar berkata, ketika ini, BDB hanya menumpukan kepada perniagaan teras iaitu hartanah serta kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) selepas penstrukturan semula disebabkan pandemik tersebut.

Ujarnya, BDN kini kemabali fokus ke arah mempelbagaikan portfolio perniagaan selepas negara beralih ke fasa endemik.

“Bagi tahun kewangan semasa, BDB akan lebih menumpukan kepada perniagaan hartanah dengan GDV ketika ini adalah sebanyak RM1 bilion,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau berkata, BDB berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM1.13 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM6 juta pada suku sebelumnya bagi suku kedua 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli

Katanya, peningkatan positif itu adalah hasil usaha kumpulan meningkatkan perniagaan teras ke arah daya tahan yang lebih kukuh selain kestabilan hasil, memaksimumkan kecekapan operasi serta meningkatkan penggunaan tenaga kerja dan penyusunan semula kewangan.

Jelas beliau, beroperasi dalam keadaan perniagaan seperti biasa, pendapatan suku kedua 2022 telah meningkat sebanyak 64 peratus kepada RM51.62 juta berbanding RM31.46 juta pada suku sebelumnya.

Katanya lagi, prestasi kewangan BDB yang semakin positif dan meningkat berbanding suku sebelumnya adalah disebabkan oleh penyambungan sepenuhnya aktiviti perniagaan dan sumbangan hasil yang tinggi daripada segmen pembinaan jalan raya selain inisiatif daripada bahagian pembangunan hartanah yang berjaya diselesaikan. – MalaysiaGazette