KUALA LUMPUR – Bina Darulaman Berhad (BDB) tidak memiliki perancangan untuk menaikkan harga jualan rumah sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang.
Langkah itu diambil meskipun terpaksa berdepan dengan keadaan semasa kenaikan kos bahan binaan ketika ini, kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli.
Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya memfokuskan kepada soal mengoptimumkan kos, antaranya melakukan langkah lindung nilai dan membuat pesanan barangan lebih awal bagi mengurangkan sebarang tekanan kenaikan harga.
“Saya secara peribadinya mengharapkan pembentangan Bajet kali ini akan memberikan sedikit kelonggaran kepada sektor hartanah seperti dari segi kos pematuhan untuk menyediakan subsidi dan insentif dalam menyokong industri.
“Terutamanya bagi pemaju yang menawarkan kediaman mampu milik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Antara kediaman mampu milik yang ditawarkan BDB ialah Perbandaran Darulaman Legenda di Sungai Petani, Kedah.
Pembangunan itu dilaksana dengan kerjasama LPB Development Sdn. Bhd. yang melibatkan nilai pembangunan kasar RM593 juta dengan penawaran kediaman berharga antara RM150,000 hingga RM280,000. – MalaysiaGazette