BUKIT JALIL — Perenang muda Wilayah Persekutuan, Xin Ren Bryan Leong memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu kategori lelaki, sekali gus merangkul pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, hari ini.

Perenang berusia 19 tahun itu mencatatkan masa 53.32 saat (s), dengan perbezaan 0.01 saat daripada rekod kebangsaan yang berusia 13 milik Daniel Bego pada Kejohanan Renang Dunia di Rom, Itali, pada 2009.

Dalam acara sama, pingat perak dimenangi oleh perenang Selangor, Tze Xiang Ng dengan catatan masa 54.72s, manakala pingat gangsa dimenangi perenang Melaka, Zheng Yong Low dengan catatan masa 55.82s.

“Saya sangat gembira dan teruja berjaya pecahkan rekod itu hari ini”

“Ia sememangnya salah satu sasaran terbesar saya untuk memecahkan rekod idola saya (Daniel Bego), tapi saya tidak pula berharap untuk melakukannya dalam kejohanan ini dan tak sangka dapat memecahkan rekod itu”

“Saya hanya berharap untuk pecahkan rekod peribadi sahaja, tapi sekaligus dapat pecahkan rekod kebangsaan”

“0.01s sahaja beza, kelakar, sewaktu Sukan Sea di Hanoi juga saya pecahkan rekod 50m bebas dengan 0.01s juga. Saya rasa ini adalah rahmat yang terlindung.” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Bryan yang juga pelajar Neurosains dan Psikologi di sebuah universiti di England berkata, beliau berharap dapat mewakili negara pada kejohanan dunia dan Sukan Asia.

”Selepas Sukma saya akan balik sambung belajar di England dan saya akan terus berlatih sebab tahun depan banyak kejohanan iaitu Kejohanan Dunia, Sukan SEA dan saya akan berusaha lebih di pusingan kelayakan masa bagi mewakili Malaysia” katanya apabila ditanya mengenai pelan seterusnya selepas tamat Sukma.

Setakat ini, Bryan sudah menghadiahkan Wilayah Persekutuan empat pingat emas iaitu 50m kuak kupu-kupu, 50m kuak dada lelaki, 4x100m acara bebas serta 100m kuak kupu-kupu.

Dalam saingan 50m kuak dada yang dimenanginya semalam, atlet itu merekodkan masa 29.02s, catatan masa peribadi terbaiknya.

Esok, Bryan akan menyambung perjuangan dalam acara 50m acara bebas dan 4×100 campuran (medley).

“Saya nak cuba pecahkan 50m acara bebas, rekod kebangsaan, dan rekod peribadi saya sendiri”

“Walaupun back-to-back, saya sasar untuk menyumbang emas sebanyak yang mungkin untuk Wilayah” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast