Kementerian Dalam Negeri mennyatakan komitmen menangani isu rakyat malaysia menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani isu sindiket penipuan pekerjaan luar negara yang melibatkan rakyat negara ini sebagai mangsa.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pihaknya juga turut menjalin kerjasama dengan INTERPOL, ASEANAPOL dan agensi penguatkuasaan lain untuk menangani isu itu secara holistik dan berkesan.

Perkara itu dimaklumkan oleh KDN melalui platform Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) yang ke-16 semalam anjuran Kerajaan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN.

Ketua Delegasi Kerajaan Kemboja, Samdech Kralahom Sar Kheng, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Kemboja memberikan maklum balas positif dengan menyatakan komitmen untuk menyelamatkan mangsa serta bersama-sama dengan negara yang terlibat bagi membanteras sindiket yang beroperasi di Kemboja.

Dalam mesyuarat yang sama, KDN juga mengusulkan perlunya satu jawatankuasa khas peringkat ASEAN dibentuk bagi penguatkuasaan rentas negara menangani isu sindiket perhambaan manusia itu.

Pihaknya menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan komitmen kerajaan dalam membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara disebabkan oleh sindiket penipuan pekerjaan luar negara.

“Mesyuarat AMMTC tahun ini diadakan secara sesi sidang dalam talian dan disertai oleh 10 negara ASEAN, Negara Rakan Dialog ASEAN serta Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat ini turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mewakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Imigresen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast