Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang warga asing yang didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan dikatakan melakukan ugutan bagi mendapat bahan berunsur seksual (sextortion) ditahan di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menahan suspek yang berumur 24 tahun itu pada 19 September lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu, polis menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer riba dan telefon bimbit miliknya.

“Hasil siasatan lanjut polis juga mendapati suspek telah menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan bagi
mendapat bahan berunsur seksual (sextortion),” katanya menerusi kenyataan media malam tadi.

Tambah beliau, kesemua mangsa yang disasarkan suspek adalah terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.

Menurut Noorsiah, kejayaan penahanan suspek tersebut adalah hasil kerjasama erat yang dijalin antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

“Suspek pelajar asing itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk menghadapi pertuduhan pada 22 September 2022  di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan sebatan serta Seksyen 10 akta yang sama dengan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya,” tegasnya. – MalaysiaGazette