Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap kepada media mengenai Mesyuarat Armada Bersatu membabitkan kesiapsiagaan PRU15 ketika di bu Pejabat Perikatan Nasional, Publika, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka memuktamadkan proses pembahagian kerusi antara parti-parti komponen gagasan itu selewat-lewatnya pada Oktober ini.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ketika ini proses rundingan kerusi masih berjalan.

“Belum selesai (rundingan pembahagian kerusi PN).

“Tapi saya difahamkan kepimpinan yang terlibat dengan rundingan ini diminta muktamadkan dalam bulan 10 (Oktober),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN, di Sri Hartamas, di sini, hari ini.

Pada 3 September lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam PN telah mula dilaksanakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Muhyiddin memaklumkan, rundingan pengagihan kerusi PN masih belum selesai buat masa ini dan ia akan disegerakan.

Dalam pada itu, Armada Bersatu masih berpegang dengan kuota 30 peratus calon anak muda, termasuk Srikandi Muda yang akan dilancarkan bulan depan.

“Kita nak tampilkan calon-calon anak muda di kerusi-kerusi DUN dan juga Parlimen.

“Cuma kita serahkan jumlah kepada Presiden (Bersatu) untuk tentukan.

“Kepimpinan parti bersetuju beri ruang seluasnya kepada calon Armada, Srikandi Muda dan Srikandi untuk diletakkan di tempat atau kerusi yang berpotensi menang,” katanya.

Katanya, Bersatu turut konsisten untuk bertanding di mana-mana kerusi yang dimiliki Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi kami, tiada istilah khemah besar.

“Kami bersiap sedia dengan calon-calon kami khususnya di DUN di tempat yang mereka sasarkan kerusi kami, kita pun sasar kerusi mereka juga.

“Sama-sama lah kita berentap di padang demokrasi ini Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette