Mohd Nizam dituduh memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan RM295,550, tiga tahun lalu.

KOTA TINGGI – Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM295,550 pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nizam Noh, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsiah Ujang.

Mengikut kertas pertuduhan, dua daripadanya menyatakan Mohd Nizam yang juga pengarah syarikat Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd memindahkan wang berjumlah RM234,100 hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat ke dalam akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik dirinya sendiri.

Sementara itu, untuk pertuduhan ketiga, tertuduh yang juga pengarah syarikat Tetuan Massnizam didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan wang berjumlah RM17,450 daripada akaun semasa Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat itu ke dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd.

Selain itu, beliau juga didakwa memindahkan wang berjumlah RM44,000 hasil aktiviti haram daripada akaun syarikat agensi pelancongan itu ke akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik isteri keduanya, Massuzah Zakaria yang berusia 47 tahun.

Semua perbuatan itu telah dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Sungai Rengit, Pengerang dan Cawangan Kota Tinggi serta Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kota Tinggi antara 17 Mac 2019 dan 13 November 2019.

Dia didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon satu tarikh lain bagi menyediakan fakta kes sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Beliau turut mencadangkan wang jaminan RM50,000 terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukan suspek itu adalah kesalahan yang berat.

Bagaimanapun, Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dan memberitahu mahkamah yang dia tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan wang jaminan yang tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 28 September ini kemudiannya ditetapkan untuk fakta dan hukuman. – MalaysiaGazette