ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis masih belum menerima notis pemakluman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menganjurkan perhimpunan yang menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim tengkujuh pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sepertimana yang diperuntukan undang-undang terdapat mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.

“Setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang notis pemakluman mengikut peruntukan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, MUDA dilaporkan merancang untuk menganjurkan perhimpunan itu di hadapan pusat membeli-belah Sogo, di sini, pada Sabtu ini bagi membantah PRU15 diadakan lebih awal.

Berikutan itu, beliau menasihatkan penganjur supaya tidak mengadakan himpunan itu dan orang ramai tidak menyertainya. – MalaysiaGazette