asyraf wajdi banjir
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sempat diadakan sebelum musim banjir sekiranya Parlimen dibubarkan awal Oktober ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, banyak pihak terutamanya pembangkang yang mendesak PRU-15 ditangguhkan kerana mereka bimbang akan membahayakan nyawa rakyat ketika musim banjir.

Menurut beliau, mereka menggunakan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) bahawa banjir besar bakal berlaku pada penghujung November ini.

“Jika ramalan JMM ini dijadikan sandaran, maka PRU-15 masih boleh diadakan sebelum banjir besar penghujung November.

“Ramalan JMM (yang menjadi nas utama masa kini) boleh menjadi landasan yang paling kuat supaya Dewan Rakyat boleh dibubar awal Oktober terutamanya 7 sehingga 10 Oktober 2022,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Hasrat UMNO yang mahu PRU-15 diadakan secepat mungkin tahun ini menerima bantahan daripada pembangkang termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bakal menganjurkan demonstrasi di ibu negara Sabtu ini.

Asyraf Wajdi juga yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu melaksanakan PRU-15 dalam masa sebulan selepas Parlimen dibubarkan seperti yang dilakukannya pada PRU-14.

“Rekod PRU-14 adalah, Parlimen dibubar pada 7 April 2018, dan SPR buat PRU pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu ),” jelasnya.

Pada masa yang sama, Asyraf Wajdi bersetuju PRU-15 ditangguhkan sekiranya banjir besar yang diramalkan itu benar-benar berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast