Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Desakan pemimpin tertentu supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum akhir tahun ini menunjukkan matlamat peribadi mereka dalam keadaan terdesak bukan demi rakyat.

Perkara itu dinyatakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berdasarkan kenyataan pemimpin parti politik tertentu yang menggesa dan mendesak Perdana Menteri supaya PRU-15 diadakan dalam musim banjir.

“Desakan diadakan pilihan raya dalam musim banjir jelas menunjukkan mereka amat terdesak untuk peribadi bukan demi rakyat. Tindakan itu langsung tidak masuk akal.

“Rakyat masih boleh menunggu lagi walaupun terdesak untuk menggantikan kerajaan baharu yang lebih stabil dan berwibawa. Setidak-setidaknya PRU-15 diadakan selepas musim banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syed Hassan, apabila PRU diadakan pada musim banjir, bukan sahaja ramai pengundi tidak dapat keluar mengundi bahkan pusat mengundi juga akan terjejas akibat paras air naik sehingga memutuskan hubungan darat.

Katanya, jika mereka tidak sabar hendak adakan PRU awal dengan alasan ada peluang untuk berkuasa tetapi janganlah sampai menyusahkan rakyat.

“Perkasa berharap Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadap untuk persembahkan cadangan tersebut.

“Kita percaya keprihatinan baginda Yang di-Pertuan Agong lebih mementingkan keselamatan rakyat pada musim banjir daripada PRU,” katanya.

Syed Hassan berkata, daripada pasukan keselamatan sibuk menjaga perjalanan PRU dan pusat mengundi, lebih baik mereka menunaikan amanah menangani banjir serta membantu rakyat di pusat penempatan mangsa banjir.

Katanya, rakyat boleh lihat betapa teruknya sesetengah pemimpin politik yang rakus untuk berkuasa tanpa memikirkan masalah rakyat bakal hadapi pada musim banjir. – MalaysiaGazette