hasni mohammad
Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri yang dicadangkan pembangkang untuk menjalankan kajian dan meneliti pelaksanaan Enakmen Anti-Lompat Parti ditolak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana dilihat tiada keperluan untuk ditubuhkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, ini kerana ia telah melibatkan perbincangan semua pihak pada peringkat awal penggubalan undang-undang itu.

Katanya, di peringkat parti, termasuk blok pembangkang, juga telah mengadakan perbincangan bagi memahami isi kandungan enakmen itu serta mendapat maklum balas dari negeri serta pandangan pelbagai pihak.

“Di peringkat awal, semua sudah diambil kira sebelum ia ditetapkan di Parlimen termasuk ia dilihat dari segi perlembagaan, persekutuan dan juga undang-undang tubuh peringkat negeri.

“BN Johor merasakan bahawa pembentangan enakmen di peringkat Parlimen ini melalui proses yang menyeluruh dan komprehensif, pelbagai pindaan dan masa sepenuhnya diberikan pelbagai pihak untuk meneliti pelaksanaan enakmen ini.

“Jadi, saya tak faham kenapa perlu ada jawatankuasa khas sedangkan di peringkat awal penggubalannya telah melibatkan semua pihak termasuk peringkat negeri, melihat dari sudut perlembagaan serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Usul yang dibawa untuk membentuk jawatankuasa khas bagi meneliti enakmen ini memang kita tolak kerana sudah tiada lagi keperluan untuk membincangkan akta yang sudah diluluskan di peringkat persekutuan, lebih-lebih lagi undang-undang yang sudah mendapat sokongan majoriti,”katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara majoriti menolak cadangan pembangkang supaya rundingan dibuat bagi penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memaklumkan, seramai 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak bersetuju terhadap cadangan itu manakala 13 ADUN bersetuju supaya undian dijalankan.

Hasni yang juga ADUN Benut yang juga Pengerusi UMNO Johor menambah, undang-undang anti lompat parti telah melalui prosedur yang diperlukan di peringkat persekutuan sebelum diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Sebelum membentangkan rang undang-undang itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat beberapa siri perbincangan dengan Barisan.

“Malah parti-parti Pakatan seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut menjadi sebahagian daripada perbincangan sebelum kerajaan Persekutuan membentangkannya.

“Jika mereka (ADUN Pakatan negeri) tidak faham rang undang-undang itu, maka mereka harus merujuk kepada pemimpin negara mereka. Perlu ada kerjasama yang lebih erat antara pemimpin negeri dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette