Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Impian seorang suri rumah untuk menyimpan wang tunai RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik anak-anaknya berkecai.

Wanita berkenaan terkejut selepas wang yang telah disimpan dalam beg tangan yang diletakkan dalam setor rumahnya itu  hilang disyaki telah dicuri oleh pembantu rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku di perumahan Taman Pandan Prima.

Katanya, pada 15 September, pihaknya menerima laporan polis daripada pengadu seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan suri rumah.

“Dalam aduan itu, suri rumah mendakwa semasa berada di rumah mendapati wang tunai miliknya yang disimpan di dalam beg tangan dan diletakkan dalam stor rumah telah tiada dan anggaran kerugian adalah berjumlah RM50,000.

“Duit yang hilang itu telah dikeluarkan pada 14 September yang lalu daripada akaun syarikat milik suami pengadu dengan tujuan untuk disimpan di dalam akaun ASB milik anak-anaknya tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana sibuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, tambah Mohamad Farouk, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap seorang suspek wanita di perkarangan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dekat sini semalam.

Kata beliau, tangkapan merupakan seorang wanita warga asing berumur 58 tahun yang menjadi pembantu rumah di kediaman mangsa dan sudah bekerja lebih kurang tujuh tahun.

“Tiada apa-apa rampasan barang dibuat daripada suspek semasa tangkapan dan wanita itu juga tidak melarikan diri dan masih bekerja selepas kejadian.

“Semakan lanjut mendapati tangkapan tiada mempunyai kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing juga disahkan negatif sebarang dadah.

“Siasatan lanjut juga menunjukkan tangkapan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bekerja tanpa permit yang sah.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 24 September ini bagi membantu siasatan lanjut polis untuk mengesan dan menjejaki wang tunai milik majikan yang masih belum ditemui,” katanya.

Mohamad Farouk memaklumkan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu curi orang gaji yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C)Akta Imgresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah jika sabit kesalahan denda tidak lebih daripada RM 10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast