Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama penyokongnya mengaminkan doa ketika hadir ke mahkamah bagi mendengari keputusan sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 23 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid dalam kes berprofil tinggi ini.

Kedengaran tepukan dan laungan dari dalam galeri mahkamah oleh penyokong serta keluarga Ahmah Zahid sebaik saja keputusan dibacakan manakala Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kelihatan seperti menadah tangan mengucapkan syukur.

Bagaimanapun hakim memohon para penyokong senyap supaya beliau boleh menghabiskan penghakimannya.

Pada 26 Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN.

Bagaimanapun pada 31 Julai 2019 mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.

Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.

Presiden UMNO itu didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Selain itu beliau juga didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri. – MalaysiaGazette