MELAKA – Seorang pelayan restoran warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun minggu lalu
Tertuduh, Sunil Kumar, 35, yang berdepan hukuman penjara 20 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba punggung seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Tingkat 9, The Shore Residences, Jalan Persisiran Bunga Raya kira-kira jam 3.30 petang 12 September lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam Pang Wan Si.
Tertuduh dalam rayuannya memohon dikenakan jaminan rendah RM3,000 kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.
Rayuannya itu bagaimanapun dibantah Sivashangari kerana permit kerja tertuduh tamat pada 18 September lalu dan perlu mengemukakan bukti telah memperbaharui permit kerja dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Nariman mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan rekod pergerakan keluar masuk tertuduh selain status permohonan lanjutan kerja yang perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
Mahkamah menetapkan 17 Oktober ini sebagai sebutan semula kes – MalaysiaGazette.