Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan mahkamah bagi terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 23 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Hakim Mahkamah Tinggi di sini hairan bagaimanakah seseorang boleh ‘menyumbat’ wang ratusan ribu dolar atau jutaan ringgit dalam sampul sebagai rasuah untuk diberikan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika membaca penghakiman 40 pertuduhan rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi  Ahmad Zahid selama hampir tiga jam itu , Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata, banyak persoalan yang tidak dapat terungkai.

Malah pihak pendakwaan telah gagal memberikan bukti secukupnya untuk menyokong dapatan tersebut.

Antaranya, persoalan bagaimana wang bernilai juta-juta itu dimasukkan dalam sampul, ketika itu juga Mohd Yazid memberikan contoh bagaimana dalam kes rasuah solar hibrid membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, wang yang telah diberikan kepadanya dapat dibuktikan dengan beg-beg mengandungi wang yang dihantar ke rumah.

“Saksi-saksi utama kes ini, tiga daripada mereka mendakwa semua wang tunai dimasukkan ke dalam sampul coklat pada setiap kali penghantaran.

“Jumlah itu juga ditukar iaitu daripada, amaun bulanan ialah SGD200,000 tetapi kemudiannya dinaikkan kepada SGD300,000 dan akhirnya SGD520,000. Bagi bulan yang tertinggal, jumlah itu kemudian akan digandakan pada bulan-bulan berikutnya.

“Bagaimana wang-wang ini diletakkan dalam sampul? Dalam kes ini juga pendakwaan tidak tunjuk sebarang sampel rupa sampul surat ini.

“Jika kita hendak bandingkan pula dengan kes Datin Seri Rosmah Mansor, penghantaran pertama RM5 juta dalam bentuk wang tunai pada 20 Dis 2016 dibahagikan kepada dua beg berisi RM2.5 juta setiap satu. Untuk penghantaran kali kedua berjumlah RM1.5 juta, wang itu dimasukkan ke dalam dua beg.

“Sebenarnya saya juga tidak dapat bayangkan sampul yang bagaimana dapat memuatkan wang sebanyak SGD600,000 yang bersamaan dengan sekitar RM1.6 juta pada masa itu,” soalnya.

Dalam pada itu, Mohd Yazid juga turut melahirkan kesangsian terhadap tiga saksi utama pendakwaan iaitu bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khiun (saksi pendakwaan ke-15), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (saksi pendakwaan ke-16) dan bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun (saksi pendakwaan ke-17).

Kata beliau, tanda dalam buku lejar seperti tanda ‘Z’ dan ‘ZH’ pada lejar UKSB tidak cukup untuk membuktikan individu terbabit dengan rasuah itu.

“Bagi tujuh pertuduhan pilihan menerima suapan, saya mendapati saksi pengarah UKSB dan bukti lejar yang dikemukakan pendakwaan gagal membuktikan elemen penerimaan wang suapan.

”Selepas menimbangkan keterangan secara keseluruhan dan selepas saya menolak keterangan Siong Sun, ia menimbulkan keraguan sama ada wang suapan itu diserahkan kepada tertuduh.

“Mahkamah juga menyimpulkan 33 pertuduhan terhadap tertuduh sebenarnya pendakwaan gagal membuktikan intipati utama kesalahan iaitu menerima suapan tanpa balasan berdasarkan analisa terhadap keterangan yang dikemukakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Yazid juga menegaskan, beliau cukup berhati-hati daripada sesekali terpengaruh dengan mana-mana pihak sebaliknya meneliti sebaik mungkin setiap hujahan pendakwaan dan pembelaan tanpa prejudis.

“Saya perlu memberikan keadilan, saya sentiasa berhati-hati daripada terus terpengaruh dengan mana-mana komen yang dibuat luar mahkamah selama ini,” tegasnya.

Hari ini, Mohd Yazid melepaskan dan membebaskan Ahli Parlimen Bagan Datuk dari 40 pertuduhan rasuah yang di hadapinya berkait dengan VLN yang telah mula dibicarakan sejak 2021. -MalaysiaGazette