KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau dengan rapi dan memastikan pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang telah menyebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) terus kukuh berbanding dengan hampir semua mata wang termasuk ringgit.
Dalam kenyataan pada Jumaat, BNM menjelaskan nilai dolar AS telah menjadi kukuh dengan ketara disebabkan oleh dasar monetari di AS yang diperketat secara agresif.
“Keadaan kewangan global yang lebih ketat dan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” menurutnya.
“Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi. Pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi,” jelas BNM.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka.
“Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurut BNM, pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran.
Pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan mengantara dengan berkesan, tambah bank pusat.
BNM menjelaskan jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan terus meningkat hingga mencapai purata semasa sebanyak US$13.3 bilion berbanding dengan US$11.3 bilion pada tahun 2021 berikutan aliran pertukaran dua hala.
“Aktiviti pasaran bon kekal kukuh, disokong mantap oleh pelabur institusi dan institusi kewangan,” menurutnya.
Justeru, operasi pasaran BNM akan memastikan keadaan mudah tunai yang mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur, tambah bank pusat.
— BERNAMA