KUALA LUMPUR – Kadar inflasi negara meningkat 3.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, selari dengan jangkaan pasaran sebanyak 3.2 peratus bagi tahun ini, didorong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, harga komoditi yang masih tinggi dan gangguan dalam rantaian bekalan global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata bagi Ogos 2022, kadar inflasi negara meningkat sedikit kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai 2022 dan kadar inflasi masih tinggi berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.
“Kadar inflasi Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia. Kadar inflasi pada Ogos 2022 di Zon Euro adalah 9.1 peratus, Amerika Syarikat pada 8.3 peratus, Thailand pada 7.9 peratus, Filipina pada 6.3 peratus dan Republik Korea mencatatkan 5.7 peratus.
Mustapa berkata kerajaan akan terus mengambil langkah untuk membendung inflasi, terutamanya melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
“Dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan secara berterusan, keadaan inflasi negara secara keseluruhan adalah terkawal,” katanya.
Beliau berkata antara langkah terkini diambil termasuk meneruskan kawalan harga ayam dan telur ayam serta pemberian subsidi penternakan yang dianggarkan sebanyak RM1.1 bilion; melanjutkan kawalan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol satu kilogram (kg), 2.0 kg, 3.0 kg dan 5.0 kg secara harga siling bergerak berdasarkan harga minyak sawit mentah dunia; serta meneruskan kawalan harga bagi komoditi seperti beras dan gula putih bertapis walaupun harga komoditi tersebut serta harga gas asli merupakan antara faktor kos utama dalam input pengeluaran meningkat.
Mustapa berkata selain itu kerajaan memberi tumpuan kepada memperkukuh sekuriti makanan negara.
Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melaksanakan kajian untuk mengenal pasti langkah ‘quick wins’ (penambahbaikan yang boleh dilihat, mendapat faedah segera dan boleh disampaikan dengan cepat) dalam menangani isu serta cabaran sekuriti makanan negara dan ia dijangka selesai dalam masa tiga bulan, katanya.
“MAFI juga sedang meneraju satu kajian untuk memperkukuh ekosistem sekuriti makanan negara jangka panjang secara menyeluruh merangkumi hala tuju untuk tempoh 10 tahun yang akan datang.
“Usaha yang diambil oleh kerajaan sebelum ini telah mendapat hasil apabila harga bagi beberapa barangan makanan asas yang mengalami peningkatan harga yang tinggi sebelum ini, seperti minyak masak, ayam dan telur telah stabil,” katanya.
Mustapa berkata antara kumpulan yang mencatat peningkatan yang tinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022 adalah kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.1 peratus), pengangkutan (4.5 peratus) serta restoran dan hotel (4.0 peratus).
Peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol disumbangkan terutamanya oleh peningkatan subkumpulan daging (9.2 peratus), diikuti oleh susu, keju dan telur (7.3 peratus), manakala kumpulan pengangkutan pula mencatatkan kenaikan disebabkan oleh kenaikan harga purata minyak mentah Brent sebanyak 58.4 peratus dalam tempoh lapan bulan tahun ini, katanya.
Beliau berkata kumpulan restoran dan hotel menyaksikan kenaikan 4.0 peratus bagi Januari hingga Ogos 2022 berbanding 0.2 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.
Pada Ogos, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 7.2 peratus disebabkan oleh komponen makanan di luar rumah yang meningkat sebanyak 8.4 peratus, manakala makanan di rumah meningkat sebanyak 6.4 peratus, katanya.
Beliau berkata walau bagaimanapun, terdapat beberapa barangan makanan yang mencatatkan penurunan harga berbanding Julai 2022 seperti ayam sebanyak -3.8 peratus, ikan siakap (-2.4 peratus) dan sayur-sayuran seperti timun (-4.6 peratus), kacang buncis (-3.6 peratus) dan kubis bulat (-2.6 peratus).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi Ogos 2022 menyederhana kepada 0.2 peratus berbanding 0.4 peratus pada Julai 2022.
Ini disumbangkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol serta kumpulan pengangkutan yang meningkat lebih rendah pada Ogos 2022 berbanding Julai 2022, katanya.
— BERNAMA