Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Tindakan Tommy Thomas menuduh “kerajaan Melayu gagal” merupakan taktik lama yang pernah dipopularkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, tuduhan itu juga merupakan strategi penuh ultra kiasu atau disebut sendiri oleh bekas ‘bos’ mereka Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “chauvinism”.

“Strategi pemimpin DAP terutama Lim Kit Siang ini sudah lama diperingatkan oleh bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada 3 Mac 1971 di dalam Dewan Rakyat bagi menggambarkan sikap ahli-ahli Parlimen DAP serta mengkhususkan kepada Kit Siang sendiri.

“Secara peribadi, saya amat bersetuju apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyifatkan perlakuan Tommy ini amat merbahaya kerana cubaan mewujudkan “Malaymophobia” dengan mengambil strategi Barat mewujudkan “Islamaphobia” yang terbukti berkesan apabila sebahagian penduduk dunia percaya dan memandang serong terhadap umat Islam, dalam konteks ucapan Tommy membenci orang Melayu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, jelas perlakuan Tommy tidak boleh diterima sama sekali dan beliau penuh yakin rakyat Malaysia yang majmuk tidak akan terpengaruh lagi dengan kaedah ultra kiasu ciptaan DAP itu.

“Sudahkah kita lupa bahawa suhu harmoni antara rakyat berbilang bangsa sangat tinggi sepanjang tempoh 22 bulan Pakatan Harapan memerintah.

“Sebagai warga Malaysia yang cintakan keamanan, seluruh rakyat diajak untuk menjaga perpaduan dan itulah salah satu konsep Keluarga Malaysia. Sekali lagi, perlakuan Tommy adalah amat tidak bertanggungjawab dan jelik,” ujarnya.

Sabtu lalu, Tommy dalam sebuah forum bertajuk “Dark Forces Towards GE15” yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan mengecam dua pentadbiran selepas kejatuhan PH pada 2020 dengan mendakwa ia melambangkan kegagalan kerajaan dikuasai Melayu.

Katanya, kerajaan semasa adalah ilustrasi ‘Ketuanan Melayu’ dan dua setengah tahun kebelakangan ini Kabinet didominasi sepenuhnya oleh orang Melayu.

Kenyataan Tommy itu mendapat reaksi Ahmad Zahid yang menyifatkan kenyataan bekas Peguam Negara sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Menurut Ahmad Zahid Tommy tidak wajar membuat tuduhan berkenaan secara pukal yang sekali gus mencerminkan sikap prejudis seolah-olah adanya sikap Malaymophobia. – MalaysiaGazette