Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Foto MUHD NA’IM, 24 SEPTEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Biarkan musim banjir berlalu terlebih dahulu, kemudian berkempen sepuas hari menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sekiranya PRU diadakan awal bagaimana pemimpin akan membela rakyat yang menghadapi banjir pada hujung tahun.

“Waktu banjir kamu nak pergi memancing undi dengan membawa sekampit beras takkan bantu selamatkan kebajikan dan nyawa rakyat semasa banjir.

“Ini bukan masa untuk PRU, tapi masa semua parti politik kerajaan dan pembangkang harus bersepadu menunjukkan kebersamaan mengenepikan fahaman politik dan fokus cari penyelesaian pastikan persediaan banjir dirancang rapi, bukan sama sama turun pancing undi rakyat ketika musim tengkujuh,” katanya.

beliau menyatakan demikian ketika berucap pada himpunan ‘Nyawa Dulu, Baru PRU” anjuran MUDA di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati lebih kira-kira 50 orang berhimpun bersama Syed Saddiq; Timbalan Presiden MUDA merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dan ADUN Pasir Pinji, dari DAP, Howard Lee Chuan How.

Mereka berkumpul selama 45 minit bermula jam 4 petang dengan membawa kain rentang dan plakad mendesak kerajaan tidak mengadakan PRU sehingga tempoh penggal tamat.

Lebih 30 anggota polis terlibat dalam kawalan dan pemantauan perhimpunan tersebut.

Syed Saddiq berkata, MUDA mengadakan perhimpunan itu bukan untuk meraih undi tetapi ia adalah untuk menjaga kebajikan masyarakat. – MalaysiaGazette