KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) jika diberi peluang oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan mendirikan kerajaan pelbagai kaum.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, GTA akan bertindak sepertimana UMNO mula-mula menjadi pemerintah dahulu dengan membawa masuk parti pelbagai kaum iaitu MCA, MIC dan parti dari Sabah serta Sarawak.
“Kita mesti jelas kepada rakyat apa itu GTA. Apakah dia akan menolak langsung orang bukan Melayu? Tidak.
“Kita akan dirikan kerajaan multiracial sepertimana UMNO dulu, bila jadi pemerintah, apabila merdeka, mereka membawa masuk MCA, MIC dan kemudian parti di Sabah dan Sarawak,
“Kita juga demikian, kita juga akan beri tempat kepada mereka. Kita bukanlah nak buat kerajaan Melayu sahaja, tetapi kerajaan yang mencerminkan penduduk di Malaysia,” katanya pada program Hard Talk di Pusat Konvensyen Bangi, dekat sini, hari ini.
Mengenai kerajaan sekarang, Dr. Mahathir berterus terang menyatakan ia nampak lemah dan pemimpinnya tidak tahu macam mana hendak urus keadaan dalam negara khususnya mengenai resesi dalam bidang ekonomi.
Beliau mengimbau pada zamannya dahulu, walaupun negara diserang oleh Thailand, Filipina dan Korea yang bertujuan untuk menjatuhkan nilai mata wang, tetapi beliau mampu melawan sehingga pulih semula.
“Untuk ini, kita perlu idea-idea yang baru, kita bincang sesama kita, kita cari jalan untuk mengatasi masalah, tetapi saya tidak nampak kerajaan yang ada ini mempunyai satu badan khusus yang diduduki oleh pakar-pakar untuk membincang masalah resesi.
“Resesi kita tak boleh hapuskan sama sekali, tetapi kita boleh kurangkan. Satu daripada perkara yang menyebabkan ekonomi kita merosot ialah rasuah. Benda yang murah boleh jadi mahal kerana rasuah.
“Kalau kita nak dapatkan lesen untuk berniaga, dia minta rasuah, kita bagi duit itu, kos kita meningkat. Bila kos meningkat, harga barang yang kita jual pun akan meningkat menyebabkan ekonomi hadapi CPI yang tinggi. Inilah satu daripada masalah yang kita hadapi sekarang, iaitu rasuah,” katanya
Namun, katanya, kerajaan sekarang tidak mampu menghadapi rasuah, selain pemerintahnya tidak cekap.
“Sebab itu satu masa dulu, saya nak dirikan kerajaan yang bersih, cekap dan amanah kerana kerajaan yang tidak cekap akan meningkatkan kos,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, sebelum ini beliau berharap hendak membantu kerajaan meningkatkan pendapatan negara dengan mencadangkan ternakan udang dalam sawah.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu ditolak oleh pegawai kerajaan dengan alasan udang akan makan ikan, sedangkan tidak ada bukti pun dakwaan itu.
“Udang ini dikehendaki oleh negara China, sebab di negara itu tidak boleh ternak udang kerana ada musim sejuk. Jadi, mereka datang ke Malaysia untuk laksanakan projek ini yang tentunya akan tambah pendapatan petani.
“Tetapi, sudah empat tahun kita minta tidak diluluskan. Ini menunjukkan kerajaan kita tidak cekap. Sedangkan kita boleh buat banyak benda untuk perkayakan orang kita, negara kita dan sekali atasi resesi yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette