Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) akan mengadakan sesi libat urus dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang Rabu ini bagi mendapatkan pandangan berhubung dasar Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik yang sedang digubal.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu juga telah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan bersama NGO seperti IDEAS, BERSIH serta pakar akademik.

Katanya, beberapa sesi perbincangan dalaman juga telah dibuat bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memperincikan dasar penggubalan RUU itu.

“Mengimbau kembali sejarah, inisiatif untuk memperkenalkan undang-undang yang mengawal selia dana politik pernah diusahakan oleh kerajaan pada 2015.

“Usaha ini dibuat melalui penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), tetapi hasratnya tidak terlaksana.

“Cadangan kerangka perundangan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik juga pernah dikemukakan oleh kerajaan pada November 2019 kepada Parlimen untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang. Namun, hasrat ini juga tidak kesampaian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, menurut Dr. Wan Junaidi, kerajaan kali ini yakin dan kekal komited undang-undang sumbangan politik itu akan dapat direaliasikan.

Katanya, kerajaan menjangkakan RUU itu dapat dibentangkan pada Mesyuarat Parlimen bagi Bacaan Pertama pada awal November ini dan Bacaan Kedua pada hujung November.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), katanya, telah menyediakan skop dan parameter dasar yang digariskan dalam RUU Sumbangan Politik dan dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum RUU itu dapat dimuktamadkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast