Seorang suspek lelaki yang disyaki memanah anjing sehingga mati dalam kejadian Rabu lalu sedang dikesan polis bagi membantu siasatan lanjut. Ihsan Media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memanah seekor anjing di bahagian kepala sehingga mati di hadapan sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini., sepertimana tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan keterangan yang diperolehi daripada seorang pengawal keselamatan di kondominium itu kejadian terbabit dipercayai berlaku pada Rabu lalu.

“Bagaimanapun, kami tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan insiden penganiayaan terhadap haiwan itu daripada mana-mana pihak setakat ini dan usaha telah dipergiatkan untuk mengesan serta mengenalpasti suspek.

“Tiada kertas siasatan dibuka setakat ini tetapi jika suspek berjaya dikesan polis kita akan menjalankan siasatan lanjut atas kesalahan melakukan penganiayaan terhadap binatang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Ashari, memiliki, membeli atau membawa panah di tempat awam bukannya satu kesalahan

“Bagaimanapun, ia tidak boleh digunakan untuk perkara yang melanggar undang-undang yang diperuntukkan,” ujarnya.

.Sekiranya ia digunakan untuk mencederakan manusia, kesalahan tertakluk kepada tahap mana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 302, 324, 324 Kanun Keseksaan, jelasnya. -MalaysiaGazette