Zuraida Kamaruddin

BUKIT MERTAJAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) hanya akan meletakkan calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang ahli parti itu sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ketika ini, parti itu tidak mahu membuang masa kepada kawasan lain, kerana percaya calon sedia ada mampu kekalkan kerusi mereka.

“Semuanya melibatkan calon penyandang sahaja pada PRU15, nanti kerana potensi untuk kekalkan kerusi sedia ada amat cerah, pengundi telah kenal kita, malah jentera pun dah ada di kawasan Parlimen dan DUN terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat PBM Pulau Pinang di Juru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, selain beliau sendiri di Ampang, kawasan Parlimen lain akan ditandingi PBM termasuk Larry Sn’g di Julau dan Steven Choong di Tebrau.

Manakala bagi DUN pula terdiri daripada tiga di Perak iaitu A.Sivasubramaniam (Buntong), Paul Yong (Tronoh) dan Leong Cheok Keng (Malim Nawar) serta dua di Selangor, iaitu Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya) dan Daroyah Alwi (Sementa).

Zuraida berkata, beberapa lagi Ahli Parlimen akan turut menyertai PBM dan bertanding pada PRU15 atas kerusi parti itu, namun beliau enggan mendedahkan identiti mereka hari ini kerana ia akan diumumkan ketika Mesyuarat Agung Tahunan PBM, 1 Oktober.

Zuraida memenangi kerusi Ampang untuk PKR sejak 2008 sebelum menyertai Bersatu pada 2020. Beliau kemudian meninggalkan parti itu dan menyertai PBM pada Mei tahun ini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast