Ahmad Zahid Hamidi PRU-15
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menjadi mimpi ngeri buat musuh-musuh UMNO, terutamanya bekas-bekas pemimpinnya yang melompat keluar dari parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli-ahli Parlimen terbabit akan dihukum oleh pengundi yang menyokong mereka sebelum ini.

Menurut beliau, ramai juga yang takut tewas dan ditolak rakyat kerana prestasi buruk mereka di kawasan.

“Kepada mereka yang pernah memperkecilkan kekuatan UMNO dan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), PRU-15 akan membuktikan bahawa terdapat kesepaduan UMNO yang mempunyai mekanisme jentera di pelbagai lapisan di akar umbi.

“Kita tidak gentar di sebalik cubaan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kesepaduan parti ini kerana takut dan tidak senang dengan pemulihan dan kebangkitan UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, gelombang ‘UMNO ialah keluarga kita’ akan terus diperkasakan untuk memastikan setiap keluarga besar ahli-ahli UMNO menyertai parti itu.

“Dengan ahli 3.4 juta kalau digandakan dengan 5 ahli keluarga kita sekurang-kurangnya, kekuatan UMNO mengatasi kekuatan asas UMNO,” jelasnya.

Ahmad Zahid menyeru kepada setiap lapisan pusat daerah mengundi (PDM), cawangan dan bahagian UMNO agar membina asas kekuatan tersebut.

Beliau menambah, atas prinsip itu, jika ahli UMNO bersatu hati dan parti komponen BN bersifat realistik dan bergerak berdasarkan fakta dan data, BN akan kembali teguh dan ampuh.

“Begitu juga gelombang ‘Keluarga Kita BN’ perlu digerakkan secara bersepadu untuk menggandakan kekuatan BN dan kesemua ini perlu dilakukan dengan tekad yang kuat dan semangat perjuangan yang luhur.

“Marilah kita bersama-sama bangkit, melonjakkan momentum, bergerak secara bersepadu dan merapatkan barisan kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast