Datuk Seri Dr Shahidan Kassim

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membidas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, pemimpin yang hebat tidak akan mengumumkan permusuhan sesama parti Melayu dan Islam.

“Kalau kita umum musuh bukan kehebatan itu sesuatu yang kekurangan diri kita. Bukan bermusuh sesama sendiri,  bermusuhlah dengan puak lain, dengan parti lagi satu baru nampak hebat.

“Saya tidak mahu menunjukkan kehebatan dengan mengumumkan bermusuh dengan itu dan ini, bagi saya kita semua kawan,” beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Putrajaya, hari ini.

Jelas beliau, Bumiputera yang merupakan majoriti penduduk negara ini sepatutnya bersatu-padu dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Bumiputera di Malaysia adalah 69.9 peratus. Kalau semua bersatu tidak ada masalah tapi kita berpecah, tidak bagus,” ujarnya.

Muhyiddin yang merupakan Pengerusi PN hari ini berkata, BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Sementara itu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai syok sendiri.

“Isytihar bermusuh sesama Islam dan Bumiputera itu bukan kehebatan, bolehlah untuk syok sendiri,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast