Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Kongres Khas Parti 2022 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun menegaskan, cabaran membubarkan Dewan Rakyat itu bukan ketika rakyat berdepan dengan musibah banjir susulan musim tengkujuh yang bakal melanda pada hujung tahun ini.

“Bubarlah Parlimen kalau (anak) jantan. Kita bukan minta mereka bubar (Parlimen), kita tak mencabar membubar sekarang.

“Pendirian kita jelas, bukannya kita gentar, bukan kita bimbang, bukan kita takut, tapi kita merasakan penghujung tahun ini musim tengkujuh, tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya.

“Kita bersabar sedikit masa, kita nak selesaikan masalah rakyat, kita nak hadapi banjir, bantu mangsa banjir sebelum kita masuk pilihan raya,” katanya berucap pada Kongres Khas DAP 2022 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Loke juga mengingatkan Ismail Sabri agar tidak gentar dengan ugutan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa mahu menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri itu.

“Kita bagitahu baik-baik, kita nasihatkan Perdana Menteri, jangan bimbang kepada Zahid, kalau Zahid tarik sokongan pun, ada MOU (perjanjian persefahaman) dengan PH.

“Jangan bimbang kepada Zahid buat ugutan, ini sudah saya cakap dalam Parlimen di Dewan Rakyat.

“Saya nak nasihatkan Datuk Seri Ismail Sabri, anda adalah Perdana Menteri Malaysia pada hari ini, bertindaklah sebagai Perdana Menteri dan bukannya pengikut parti,” katanya.

Loke yang juga ahli Parlimen Seremban tidak menolak kemungkinan tindakan pembubaran Parlimen pada tahun ini hanya mengundang padah kepada parti pemerintah itu.

“Saya nak beri peringatan kepada Datuk Seri Ismail Sabri dan rakan-rakannya dalam UMNO, kalau mereka berani membubarkan Parlimen dalam musim banjir, rakyat Malaysia akan menghukum dengan lebih kuat lagi.

“Kita tak bimbang nak masuk pilihan raya esok pun boleh, tetapi kalau UMNO berani membelakangkan kepentingan rakyat, mereka akan dihukum oleh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast